Tuesday, 21 April 2015

misi dan visi

Selamat melangkah ke Tahun Baru 2013. Marcapada, peranan guru dilihat lebih mencabar, apabila golongan guru semakin mendapat perhatian masyarakat sekeliling. Oleh itu seluruh warga pendidik SMKSB hendaklah memastikan martabat perguruan dipertingkatkan. Kualiti guru mesti diperkukuhkan dan diperkasakan mengikut perubahan pendidikan semasa seiringan dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam masa yang sama, warga pendidik terutamanya guru hendaklah mempersiapkan dan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran pedagogi yang tinggi agar proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dapat dimantapkan lagi bagi meneruskan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar di sekolah ini. Negara bukan sahaja memerlukan guru yang mahir mengajar malah sebagai pemikir kritis yang boleh menyumbang kepada pengukuhan agama, kecemerlangan bangsa dan pembangunan Negara.

Di samping itu, guru-guru juga seharusnya sentiasa peka dan seiring dengan dasar-dasar baru Kementerian Pelajaran seperti dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menggantikan peperiksaan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Literasi Numbers (LINUS), pembelajaran sepanjang hayat dan peluang pembelajaran untuk semua. Saya juga berharap SMKSB dapat menyediakan modal insan yang berkualiti tinggi dan mulia bagi menghasilkan warganegara yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri kita dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

          Sejajar dengan moto sekolah ”Berusaha, Berilmu, Beramal”, saya sekali lagi menyeru agar warga pendidik SMK Sinar Bintang dapat memberikan komitmen yang tinggi berlandaskan nilai-nilai murni yang positif serta etika kerja yang mulia sebagaimana yang terkandung dalam Teras Perkhidmatan Awam. Ini amat bersesuaian dengan prinsip haluan kerja pendidikan yang diperkenalkan iaitu Prinsip XPLUS (Excellence, Pengetahuan, Latihan, Usaha dan Sepasukan). Dengan mengamalkan kerja berpasukan, InsyaAllah Visi dan Misi sekolah akan tercapai.


Sekian, salam hormat dan wassalam.

YANG RAJIN CARI JALAN,
YANG MALAS CARI ALASAN.



( CHE YAH B CHE SOH )
Pengetua
SMK Sinar Bintang,
Segambut, Kuala Lumpur.

sejarah smk sinar bintang

Sekolah  Menengah Kebangsaan Sinar Bintang (SMKSB) ditubuhkan pada 1 Jun 2001. Terdapat 4 blok bangunan sekolah, 1 pondok pengawal dan 1 kantin. Bilangan murid pada masa itu adalah seramai 416 orang yang terdiri daripada Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan 2. Pengetua SMK Sinar Bintang yang pertama ialah, Puan Hajah Wan Najiah Wan Yusuf. Kini, sehingga tahun 2012 SMK Sinar Bintang sudah mempunyai hampir 2100 orang murid dan telah diterajui oleh lima orang Pengetua iaitu, Puan Hajah Wan Najiah Binti Wan Yusuf (2001-2005), Puan Radiah Binti Nordin (2006- 2007), Puan Yuha Binti Abd. Rahim (2007- 2009), Puan Sumarni Binti Junin (2009- 2012) dan Tuan Haji Che Yahya Bin Che Soh (2012 - kini) 

Nama sekolah SMK Sinar Bintang diambil sempena nama tempat dimana sekolah ini ditubuhkan iaitu, di Taman Sri Bintang. Walaubagaimanapun, nama “Sinar Bintang” sebagai analogi untuk mengungkapkan suatu harapan yang amat tinggi agar sekolah ini dapat melahirkan bintang-bintang yang sentiasa menyerlahkan sinarnya. Walaupun kelihatan kecil, namun bintang merupakan sfera yang panas serta besar dan sentiasa membakar. Hal ini diharapkan dapat menggambarkan semangat waja warga SMK Sinar Bintang yang sentiasa ingin mencuba dan berani menghadapi apa jua cabaran.